Sabtu, 28 September 2013

Pantang Larang Sebob Edisi Kedua

Pantang larang Sebob yang kedua kembali lagi dengan kisah-kisah yang menarik.Kaum Sebob mempunyai pantang larangnya sendiri sama ada untuk memberi teguran atau menghindari daripada kejadian yang tidak diingini.Saya percaya kaum-kaum yang lain mempunyai pantang larang mereka sendiri.Jum kita selongkor lebih banyak lagi tentang pantang larang yang di amalkan oleh orang-orang Sebob.

1.Jangan bermain sorok-sorok pada waktu malam.

Pantang larang yang ini adalah pantang larang yang amat ditakuti ketika zaman kanak-kanak.Maklumlah permainan ini adalah permainan yang popular masa kanak-kanak sampai ada yang sanggup memanjat ke bumbung rumah untuk bersorok.Kata orang, kalau bermain pada waktu malam adalah si 'hantu' akan turut sama bermain.Selain itu juga,si 'hantu' juga akan tolong sorokkan sehingga tidak dapat dikesan.Hal ini demikian kerana telinga dan mata akan dikaburi oleh si 'hantu'.Setakat ini,belum pernah lagi terjadi kerana tidak pernah main sorok-sorok pada waktu malam.Sejauh mana kebenarannya,tidak ada siapa yang tahu.

2. Kalau berada di hutan,jangan memanggil nama kawan sesuka hati

Semasa memburu kebiasaannya para pemburu menggunakan bunyi sebegini. Dalam Sebob ianya dipanggil ngo'ok.Panggilan nama seseorang tidak boleh dibuat kerana benda lain yang akan menyahut panggilan anda.Itu sahaja yang saya tahu setakat ini.Selain itu,bunyi ini juga turut dibuat semasa memburu menggunakan anjing.Tidak kira sejauh mana anjing itu berada,dia kan dapat mengesan bunyi ini.

3.Jangan kencing atas api a.k.a peruk.

Bak kata orang dulu-dulu kencing di atas api boleh menyebabkan si Anu bengkak..Oleh yang demikian,kalau tidak ada air pun jangan sesekali menggunakan senapang peribadi..haha sejauh mana kebenarannya,boleh buat eksperimen tetapi akibat kena tanggung sendiri.

4.Masa menuba jangan kencing dalam sungai

Kencing semasa menuba boleh meneutralisikan air tuba yang telah mengalir di dalam sungai.Hal ini pernah berlaku dan ternyata ianya benar sekali.Kesan air tuba dikatakan akan berkurangan jika ada sesiapa yang terkencing ke dalam sungai.Untuk kebaikan pada masa akan datang,janganlah menuba..Menjala lagi syiok daripada menuba.

5.Kalau makan nasi,sila licinkan pinggan dan elakkan nasi bertaburan

Kalau orang dulu,amalan ini diamalkan untuk mengelakkan pembaziran.Menurut orang tua,nasi yang bertaburan akan 'menangis' kalau ditinggalkan bertaburan di atas lantai atau di dalam pinggan.Selain itu juga,hal ini juga dikatakan boleh menyebabkan hasil tuaian pada masa akan datang tidak menjadi.Oleh yang demikian,elakkan pembaziran sekiranya ingin terus mendapat tuaian 'umah' yang baik.

6.  Jangan bermain di tepi-tepi beranda rumah terutamanya di rumah panjang

Pantang larang ini dibuat untuk mengelakkan anak-anak untuk bermain di tepi beranda rumah terutamanya di rumah panjang.Menurut orang tua,si beranda akan menarik kita ke bawah dan menyebabkan kita terjatuh.Sakit bukan kepalang lagi kalau jatuh di rumah panjang.Pernah merasa juga ketika kecil dan kesan nya memang berbaloi.,haha.Sebenarnya,tujuan pantang larang ini ialah untuk mengelak anak-anak kecil bermain di tempat yang boleh membahayakan diri mereka.

7.Kalau ada kematian,tidak boleh membuat bunyi bising

Semasa ada kematian,keadaan sunyi amat penting sekali untuk menghormati si mati.Semua orang akan berkabung dan elakkan membuat bunyi bising.Kata orang,jika membuat bising akan menyebabkan kita jatuh sakit atau dalam sebob nya 'kemucen'.Kita akan jatuh sakit dan harus membuat satu upacara khas untuk meminta maaf kepada si mati.Cerita ini benar-benar terjadi pada masa dahulu dan pada masa sekarang,masih juga diamalkan.Oleh itu,jangan main semasa ada orang mati dan mainlah puas-puas sebelum itu.

8.Semasa mengandung,si perempuan dilarang untuk makan binatang yang dilarang

Amalan ini diamalkan untuk mengelakkan kecacatan yang berlaku semasa melahirkan anak kelak.Binatang-binatang yang dilarang ialah seperti labi-labi.Hal ini boleh menyebabkan bayi yang akan dilahirkan mengalami kecacatan anggota badan.Menurut orang tua,mereka amatkan tekankan perkara ini agar perkara yang tidak diingini terjadi kepada si bayi kelak.Oleh kepada yang perempuan,janganlah mengidam makanan yang pelik-pelik.hehe

9.Elakkan meludah dan bercakap bau umpan semasa memasang pancing

Meludah dan mengatakan umpan berbau semasa memasang pancing amatlah dititik beratkan sekali oleh si pemancing.Pantang larang ini biasanya diamalkan semasa memasang pancing pada waktu malam. Dengan  bertalikan nilon,pancing ini dibuat untuk memancing ikan-ikan besar seperti baong dan tapah.Antara umpan-umpan yang digunakan ialah anak ikan,perut ayam,pekasam dan umpan yang boleh mengeluarkan bau yang hayir untuk menarik perhatian ikan. Kata orang,merungut atau meludah boleh menyebabkan ikan-ikan lari dan tidak berminat dengan pancing yang akan dipasang.Selain itu,labi-labi juga berminat dengan umpan yang berbau seperti sotong. Kalau terlanjur meludah atau bercakap, keesokan hari memang akan tangan kosong.

10.Untuk menjinakkan ayam,cabut sahaja bulu pelepah yang berada di bawah sayapnya

Walaupun agak melucukan, tetapinya adalah salah satu cara yang diamalkan oleh orang dulu-dulu untuk menjinakkan ayam mereka. Semasa kecil-kecil dulu,ayam yang liar dikejar sampai ke dalam hutan. Selepas berjaya ditangkap,bulu pelepah ayam yang ada dibawah kepaknya akan dicabut. Pada pendapat saya,cara ini boleh dikatakan berkesan dan berbaloi.Oleh itu,sesiapa yang ada ayam di rumah sila periksa bulu pelepah ayam anda dan cabut.:D


Setakat ini sahaja pertemuan kali ini untuk edisi pantang larang sebob yang kedua yang saya dapat kongsikan.Ingat,pantang larang ini diamalkan oelh orang-orang dahulu dan ada diantaranya masih lagi diamalkan oleh penduduk di kampung mahupun di kawasan bandar.Sekian terima kasih..:)





Rabu, 18 September 2013

Ka'am ata Long Pala (Karam di Long Pala)

Tahun 2012 telah meninggalkan kenangan yang sangat menarik dan tidak dapat dilupakan.Kenangan yang saya ingin kongsikan ialah detik-detik cemas ketika karam di salah sebuah 'ga' ataupun jeram di Long Pala.Pada pagi 26 December 2012,saya bersama-sama empat orang sepupu (Langan,Cayun,Boy dan anak Japung) bertekad untuk menjala ikan di Long Pala.Sambil-sambil itu juga,kami pergi mencari durian dan ketika itu juga musim durian sudah hampir berlalu.Setelah memasukkan semua barang keperluan seperti pukat dan jala ke dalam guni,kami pun bertolak seawal jam lapan pagi.Kami juga membawa sedikit bekalan makanan kerana kami bercadang untuk pulang pada waktu petang.Pada masa itu,air sungai lemeteng agak deras kerana hujan pada malam sebelum nya.Sehubungan dengan itu,sungai Pala juga tidak mahu mengalah.Sungai Pala dalam keadaan yang keruh dan deras.

Dengan motor air berkuasa lima belas kuda,kami berjaya sampai ke uba (muara) sungai Pala.Pukat yang pertama dipasang di muara sungai untuk memerangkap ikan-ikan yang keluar masuk ke sungai tersebut.Kebiasaannya,ikan-ikan selalu keluar masuk muara sungai sama ada untuk mencari makanan dan mudik ke hulu sungai.Setelah selesai,kami meneruskan perjalanan kami ke hulu sungai.Dalam lingkungan lima ratus meter kemudian,kami memasang lagi pukat.Air sungai yang agak deras menyukarkan kami untuk memasang pukat berkenaan.Seterusnya kami ke hulu sungai dan berhenti di sebatang sungai kecil untuk memasang pukat berukuran tiga jari di kawasan tersebut.Kami mudik lagi ke hulu sungai dan beberapa pukat dipasang sepanjang kami ke hulu sungai. Kemudian,kami meneruskan perjalanan ke destinasi kami iaitu di salah sebatang anak sungai.Anak sungai tersebut dikenali sebagai Belatui.Kami terpaksa memerah tenaga untuk menarik perahu kerana paras air sungai di kawasan hulu sungai agak cetek.

Setelah sampai,kami mula beraksi dengan tiga jala yang telah dibawa.Dengan dua kali tebaran,ada juga ikan sangkut seperti lawei dan putak (maaf dalam BM tidak tahu apa nama).Hasil tangkapan kami agak kurang memuaskan pada ketika itu.Oleh itu,kami bercadang untuk mencuba nasib di anak sungai yang dinamakan Belatui.Sebelum itu,kami memasang pukat di muara anak sungai itu untuk memerangkap ikan yang keluar masuk di muara sungai tersebut.Dengan menggunakan jala yang berukuran dua jari,kami berjaya menangkap ikan-ikan kecil sebanyak satu 'bukui'(beg orang dulu dibuat daripada rotan).Menjelang pukul tiga petang kami pun pulang ke perahu yang kami tinggalkan di muara anak sungai tadi.Dalam masa tiga puluh minit,kami berjaya sampai ke muara sungai.Perut sudah berasa lapar dan minta untuk di isi.Berbekalkan nasi yang dibawa,kami makan dengan berselera sekali walaupun lauk cuma kari ayam sahaja.Setelah selesai kami pun meneruskan perjalanan pulang.

Dalam perjalanan pulang,kami singgah untuk mencari buah durian yang berada di pinggir sungai Pala.Terdapat banyak buah durian yang sudah buruk dan tidak dikutip.Buah durian dan 'bela'(durian kuning) yang masih elok kami makan dan sebahagian dibawa pulang untuk dinikmati oleh ahli keluarga yang lain.Setelah selesai berborak sambil menikmati durian,kami pun meneruskan perjalanan pulang.Sebaik sahaja tiba di jeram pertama dan agak tajam lengcongnya,perahu kami bergerak laju sehingga tersangkut di tengah-tengah jeram tersebut.Jeram tersebut dinamakan Ga Laban.Saat cemas mula berlaku apabila perahu mulai dinaiki air dan terbalik.Masing-masing terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan perahu daripada terbalik.Usaha menyelamatkan perahu terbalik tidak berjaya kerana air sungai pada masa itu masih deras.Pukat dan jala semuanya hanyut dan tenggelam di jeram tersebut.Durian-durian hanyut dan ikan-ikan juga hilang di dalam air sungai yang agak deras.Bukan itu sahaja,telefon bimbit yang dibawa juga hilang dan mungkin digunakan oleh ikan-ikan di sana sekarang.Nasib baik motor air yang dibawa tidak hilang.Kami berusaha untuk berenang dan membawa perahu ke tebing sungai.Kejadian tersebut berlaku terlalu pantas tanpa diduga. Kemudian,kami terbalikkan perahu ke keadaan asal dan mendapati motor air masih ada.

Di tebing sungai,kami sempat lagi ketawa mengenang kembali kejadian yang menimpa kami sebentar sahaja tadi.Kami mengambil keputusan untuk terus pulang dengan berkayuh menggunakan tangan dan selipar yang masih tinggal.Kami mengambil semula pukat-pukat yang dipasang kawasan hilir sungai.Nasib baik ada juga beberapa ikan untuk dibawa pulang.Selain itu,kami juga sempat mencari buah bela untuk dibawa pulang.Setelah sampai di muara sungai,kami mendapati pukat yang dipasang berada di tempat yang tinggi.Masing-masing mencuba nasib untuk memanjat pokok kayu yang agak licin kerana sebelum itu hujan renyai-renyai.Setelah berjaya menurunkan pukat tersebut,kami pun pulang ke rumah.Ketika sampai di rumah,kami pun menceritakan apa yang berlaku ketika kami pergi menjala ke sungai Pala.Apabila mengingat kembali,rasa lucu dan sedih pun ada.Orang-orang kampung memberitahu jeram tersebut adalah salah satu tempat yang kerap kali berlaku kejadian karam kerana lencongan tajam menyebabkan perahu mudah terbalik.Kami sangat bersyukur kerana ketika itu tidak melibatkan kehilangan nyawa.Nasib juga yang ikut bersama pandai berenang.Begitulah serba sedikit pengalaman ketika karam di sungai Pala.Semoga pada akan datang dapat pergi lagi menjala ikan di sungai tersebut...Sekian sahaja episod kali ini..:)


Khamis, 12 September 2013

Perayaan Krismas oleh kaum Sebob Long Selapun

Hello pembaca sekalian..
Sudah agak lama tidak mengupdatekan blog ni...topik kali ini akan menceritakan sorotan Hari Krismas  yang disambut oleh orang Sebob pada masa yang lalu.

Krismas 2012



Perayaan yang selalunya disambut oleh orang Sebob ialah Hari Krismas yang akan disambut pada 25 December setiap tahun.Perayaan ini disambut untuk memperingati kelahiran Tuhan Yesus ke dunia dan bukan nya untuk suka-suka.Dahulu dan sekarang cara perayaan ini disambut amat berbeza.Pada masa dahulu,perayaan ini disambut dengan botol cap apek,jin,tuak dan semua minuman keras.Kalau tidak ada benda sebegini,sambutan untuk perayaan  boleh dikatakan suram.Maklumlah,kalau tidak 'goyang' semua malu-malu mahu tunjuk belang.Bukan mahu memalukan orang-orang dahulu,tetapi inilah yang berlaku ketika Hari Krismas dirayakan.Kejadian yang tidak harus berlaku ialah apabila orang-orang kampung akan bergaduh sesama sendiri apabila sudah 'meram' a.k.a mabuk.Bila sudah minum,semua benda boleh buat.Mujurlah tidak sampai bunuh membunuh.Cuma 'sparing' macam ahli gusti saja di karangan yang berbatu.Masa kecil pernah berlaku pergaduhan,memang siaran langsung ahli gusti WWE la juga.Bagi anak-anak muda sekarang,belajarlah mengelakkan diri dari menjadi seorang kaki botol.Nanti masa tua-tua,pasti akan menyesal kerana menjadi kaki botol.Bagus simpan duit pakai belanja di masa akan datang.

Kesedaran di kalangan penduduk kampung Long Selapun seharusnya menjadi teladan bagi kampung-kampung yang lain.Bermula pada tahun 2005 mungkin,penduduk kampung tidak lagi menghidangkan 'ba burak' a.k.a tuak untuk pengunjung yang melawat kampung.Kalau dulu,ba burak la yang paling penting untuk menyambut tetamu melainkan kalau ada urusan penting.Nanti kalau bagi ba burak,urusan penting jadi urusan tidak penting.Sekarang,kita minum kupi hitam saja la sudah cukup untuk memulakan perbualan.Tetamu-tetamu yang datang akan dihidangkan dengan makanan yang lebih mengeyangkan.Sehari sebelum hari Krismas,penduduk juga mengadakan aktiviti sukaneka dan permainan untuk memeriahkan lagi suasana.Meskipun bilangan yang tidak banyak,penyertaan anak-anak muda sangat menggalakkan.Antaranya acaranya di pertandingkan ialah merentas kampung(berlari),memancing (paling syiok),menjala (air besar telah dibatalkan)bola tampar dan sepak takraw.Pertandingan ini disertai oleh semua penduduk kampung tidak kira umur sama ada tua ataupun muda. Acara ini juga turut disertai oleh penduduk kampung yang berdekatan seperti Long Puah,Long Pala dan Long Nuah.

Senam robik di awal pagi sebelum acara bermula


Bola tampar antara sukan yang dipertandingkan
Penyokong tegar sukan Kg Long Selapun

Generasi muda memeriahkan suasana di dalam acara sukaneka

Acara merentas kampung


Para peserta bola tampar berjuang walaupun di atas tanah becak



Anak jati Long Selapun-Ambrose


 Sepak takraw turut disertai oleh pemain dari kampung-kampung lain

Pada waktu malam,upacara doa akan dijalankan sementara menunggu detik jam dua belas tengah malam.Selain itu,acara penyampaian hadiah juga akan dibuat untuk para pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan.Apabila jam dua belas malam tiba,anak-anak muda akan menyalakan bunga api sebagai tanda tibanya Hari Krismas.Setelah selesai,para penduduk akan berehat dan bersedia untuk menyambut hari Krismas pada keesokan harinya.Pada hari Krismas,penduduk kampung tidak digalakkan untuk menjalankan aktitiviti yang berat seperti memburu,mencari ikan dan sebagainya.Hal ini demikian untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dan tanda hormat pada hari kelahiran Tuhan Yesus Kristus.Pada awal pagi,penduduk diwajibkan untuk ke gereja untuk sembahyang bersama-sama di gereja yang baharu sahaja didirikan beberapa tahun yang lalu.Setelah selesai bersembahyang,para penduduk akan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mendoakan setiap pintu rumah yang ada di kampung.Kunjungan ini bertujuan untuk mendoakan setiap penduduk di kampung agar mereka menjalani kehidupan yang baik dan dilimpahi dengan berkat Tuhan.

Ketua kampung memberi ucapan


Upacara doa malam sebelum Krismas

Makan-makan semasa Hari Krismas

Simbolik sambutan Hari Krismas


Doa dari rumah ke rumah dijalankan


Setelah selesai,para penduduk akan berkumpul bersama-sama untuk menikmati makanan yang telah disediakan secara bergotong-royong.Sekiranya banyak lebihan makanan,penduduk boleh membawa balik makanan untuk makan malam.Pada waktu malam,mesyuarat kampung juga akan dibuat untuk membincangkan isu-isu yang berlaku di dalam kampung.Mesyuarat akan diketuai oleh ketua kampung sendiri.Pada keesokan harinya,penduduk kampung boleh berkunjung ke kampung-kampung lain untuk kunjung mengunjungi dan menikmati pelbagai jenis makanan tradisional.

Begitulah sorotan Hari Krismas yang disambut di Kampung Long Selapun...semoga sambutan Hari Krismas pada masa-masa akan datang lebih meriah..Ingat!!!Abi burak pun abi eok..:)